4. ILYA KABLAM

BIODATA. ILYA KABLAM @ KABLAM22. Kablam22 (nama pena) berasal dari Petaling Jaya, Selangor dan dilahirkan pada 10 September 1981. Mendapat ijazah pertama (BHsc. English Language and Literature) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM atau dikenali juga dalam bahasa Inggeris sebagai IIUM). Merupakan Pengurus syarikat penerbitan Esastera Enterprise, yang menerbitkan semua buku dari penulis eSastera. Kablam22 juga merupakan vokalis dan ketua kumpulan GLP yang merupakan artis rakaman yang bernaung di bawah syarikat rakaman Esastera Records. Pembikinan dua buah album (Perada Cinta, 2014 dan Dot Dot Dot, 2016) memberi peluang kepada Kablam22 untuk bekerjasama dengan beberapa orang produser yang diiktiraf oleh industri muzik di Malaysia, termasuk Awang BPR, Umarul Iklim, A. Ali, dan dan Bakri (pemain drum band Meet Uncle Hussein). Dalam bidang sastera, Kablam22 berkarya sepenuhnya di e-Sastera.com dan menghantar karya-karyanya untuk penerbitan cetakan keras dalam beberapa program kerjasama bersama Sasterawan Negara Dato’ Ahmad Khamal Abdullah dan Balai Seni Visual Negara. Kablam22 menulis sajak, cerpen, dan novel kongsi untuk eSastera, dan menulis beberapa lirik lagu untuk GLP. Kablam22 juga ditugaskan menjadi editor eSastera Majalah dan eSastera Bookazine (dulu Sastera.Net), dan bertindak sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Aktivis e-Sastera Malaysia (E-SASTERA). Karya-karya Kablam22 dalam bentuk puisi, cerpen, dan novel kongsi, semua boleh dibaca di bawah nama pena “Kablam22” di laman web e-Sastera.com, e-Sastera2u.com, serta terbitan-terbitan Esastera Enterprise: Bukit Siguntang Mahameru, Musibah Gempa Padang, Hostel: Debaran Kedua, Hostel: Memento Cinta, dan majalah Sastera.Net Edisi 8, buku terbitan Insandi Sdn. Bhd: Menyirat Cinta Haqiqi, serta album terbitan Esastera Records, Perada Cinta (2014) dan Dot Dot Dot (2016).

PUISI

4.01. Selamat Datang Kejora
4.02. Mentari Di Bumi Salju
4.03. Beremu Janji, Sendiri
4.04. Sepuluh Ribu Bunyi
4.05. C0vid 2020
4.06. Kita Yang Dibakar Cahaya
4.07. Malam Itu
4.08. Pohon Waktu
4.09. Puisi Tanpa Melodi
4.10. Langkah Prostesis

4.01.

SELAMAT DATANG KEJORA

Selamat datang kejora
sinarkan kami cinta dunia
walau seketika dentum langit kami malam ini
mencuri sinarmu.

Lagu api kami letuskan satu-satu
buat membenam ragu di gempita sorak
malam ini biar terus panjang
di putih bulan yang suram.

Jiwa manusiaku tak semegah cahayamu,
bintang timur
akan kubiar terus bulan itu
menyinari wajahku.

TTDI, KL.
1-11-11
.

4.02.

MENTARI DI BUMI SALJU

Kaulah saksi kedinginan itu
ketika awan tak kelihatan
kaulah kehangatan yang tak kelihatan
mentari, yang terus bersembunyi.

Di saat salju gugur di malam hari
kau tidak kelihatan lagi
aku terus mengira jejak-jejak but di atas salji
menikmati rangup bunyi derap langkah membelah sunyi.

Tidak pernah sekalipun aku tidak sabar menunggu
kehadiranmu
di waktu pagi, kau pasti muncul lagi.

TTDI, KL.
9-11-20

4.03.

BERTEMU JANJI, SENDIRI

Di manakah nikmat kehidupan ini
jika terus sendiri
ibarat lilin membakar diri
mencair tanpa henti.

Di manakah nilai cinta
jika tidak setia
ibarat malam gelita
gelap tanpa cahaya.

Di manakah janji dibina
jika bukan di dada
ibarat kata dikota
ditunai penuh jaya.

TTDI, KL.
9-11-20

4.04.

SEPULUH RIBU BUNYI

Keriuhan yang menyesakkan
pulang membawa keresahan
burung tak lagi menyanyi dengan tenang
hiasan alam yang dilupakan.

Sepuluh ribu bunyi riuh bertandang
seribu suara manusia tak berseni
mengubah susunan melodi aman
mencemari ketenteraman.

Sepuluh ribu bunyi yang kuceritakan
adalah punca seribu jiwa
yang keretakan.

TTDI, KL.
9-11-20
.

4.05.

COVID 2020

Topeng muka bergelimpangan
kotor, dilenyek kenderaan
di kotak parkir murahan
virus covid terus berterbangan
menyinggahi pakaian dan laman
tak mengira musuh dan kawan.

Sanitasi udara dan tangan
adalah hamburan bahan kimia yang mematikan
kuman covid dan hawa awam
hubungan akrab rakan dan taulan
dipisah jarak keselamatan.

Manusia terkurung di rumah
cuma menonton, makan
membaca, beriadah
atau berzikir di atas sejadah
membendung fikiran yang gundah.

Yang kehilangan mata pencarian
membayang melayang dari bangunan
terus meminjam dari kenalan
demi sesuap makanan.

Dunia bakal ditinggalkan
dan kita bakal pergi
redalah!

TTDI, KL.
9-11-20.

4.06.

KITA YANG DIBAKAR CAHAYA

Ibarat kelkatu
yang dibakar lampu
kita disuluh cahaya dunia
lalu tertipu.

Kelkatu dengan sayap nipisnya
gugur bergelimpangan
begitulah perasaan kita
dikorban sinar yang sementara.

Setelah lampu ditutup
kelkatu pasti tak terbang lagi
kerana hidupnya dia
hanya untuk gemilang terang
yang membakar.

Mengapa kita sering dibakar cahaya
jiwa terkorban dan kecewa.

TTDI, KL.
9-11-20.

4.07.

MALAM ITU

Malam itu
kau meminta aku
menyanyikan lagu kegemaranmu.

Tiada bunyi lain yang menemani
cuma vokalku yang kosong
dan alam yang luas
gelombang bunyi ini akan pergi
meninggalkan bunyi dan menjadi memori.

Malam itu
kau menangis
kerana kehilangan sesuatu
yang amat kau sayangi.

Tiada bunyi lain yang menghiasi
hanya baldu vokalku
membalut sunyi hatimu
yang sering sendiri.

TTDI, KL.
9-11-20.

4.08.

POHON WAKTU

Di satu saat aku berteduh di pohon waktu
aku bertanyakan tentang daunnya yang gugur
rugikah aku berehat di sini
menanti bukti dan inspirasi
yang mungkin tak akan menyinggahi.

Pohon waktu yang terus berdiri
meneguhkan aku dengan perlindungan
dari teriknya kepanasan
namun tetap membasahkan aku
dengan hujan.

Yakinlah aku
bahawa pohon waktu adalah seperti cinta
yang manis dan pahit
merehatkan, sehingga suatu masa
redupnya harus kutinggalkan.

TTDI, KL.
9-11-20
.

4.09

PUISI TANPA MELODI

Inilah kata-kata yang menyenangkan
sebuah ruang, tanpa gangguan
aman daripada setan
yang sering mempermainkan ketenangan.

Kata-kata sering dapat diatur dengan keindahan
seperti arca yang terukir dengan keindahan
setiap sudut lekuknya hidup pada batuan
gagah memegang kenangan
penikmatnya ditenggelam keasyikan.

Inilah kata-kata yang mencantikkan
ruang jiwa dan badan
aman daripada gangguan
sesejuk mata air gunung
yang bening ditakung.

TTDI, KL.
9-11-20

4.10

LANGKAH PROSTESIS

Sebulan kau menunggu kaki itu
sebuah kaki besi yang palsu
kepantasannya kau harap menghayunkan langkahmu yang beku.

Otot semakin dipenjara keketatan
regang dan lunjurmu kian tegang
rasa sakit dan ketidakselesaan
menjadi rakan harian
hari demi hari kau menunggu
sebatang kaki besi itu
kaki besi yang palsu.

Walau kakimu tak seperti dulu
hati menyimpan yakin
dengan sedikit jingkit
kau terus bangkit
demi melawan penyakit
demi menolak sakit.

Sebulan ditunggu kaki itu
kaki besimu yang palsu
kepakaran mereka jadi sandaran
jiwamu yang kelayuan.

Alangkah hidupnya harapan
sebaik impian jadi kenyataan.

TTDI, KL.
9-11-20

TAMAT.