7. NOORHAMY

BIODATA. Noorhamy ialah nama pena Noorshamsuddin bin Hj. Md. Yassin, mantan pendidik. Jawatan terakhir sebelum bersara sebagai Penolong Kanan Pegawai Pelajaran. Lahir pada 2 Oktober, 1949 di Kampong Telamba, Telisai, Tutong. Mulai menulis puisi sejak di bangku sekolah tahun 1964 di dalam majalah RIAK sekolah SMJA dan terus berkarya sehingga kini. Hasil-hasil karya sajak pernah dikeluarkan di akhbar Borneo Bulletin, Pelita Brunei, dan juga Media Permata, BAHANA DBP serta di dalam majalah-majalah sekolah di mana sahaja pernah bertugas. Antara nama-nama pena yang lain yang pernah digunakan ialah MY Musdina, Nur Qalam, Noorah AMY, Permani Panaka Lima, dan juga Tuk Abih.

Hasil karya dimuatkan dalam antologi bersama:-

  1. Antologi Puisi RESTAAN ANAK MERDEKA (Penulis Daerah Tutong 2006) Keluaran DBP Brunei,
  2. Antologi Sajak SUARA (Penulis Daerah Tutong 2009) Keluaran DBP Brunei,
  3. Antologi Sajak KE MERCU EMAS (Penulis Daerah Tutong 2011) Keluaran DBP Brunei,
  4. Antologi CAHAYA TERUS BERSINAR Sempena memperingati 100 tahun Pendidikan Formal Negara Brunei Darussalam yang telah diterbitkan pada 2014 oleh Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu Fakulti Sastera dan Sains sosial, Universiti Brunei Darussalam,
  5. Antologi Sajak AMAS TAMPAWAN 2015-Selenggaraan Kesepakatan Warga Emas,
  6. Antologi PANTUN DAN SYAIR 2016 Selanggaraan Rakan Warga Emas ,
  7. Antologi SERUMPUN SEKATA Perhimpunan Sasterawan Budayawan Negara Serumpun (PSBNS) Brunei 2017
  8. ANTOLOGI PUISI GURU (Gerakan Akhbar 1000 Guru Asean Menulis Puisi) Terbitan Perkumpulan Rumah Seni Asnur Jl.Kavling Ul Timur VI Blok D No.4 Tanah Baru-Kota Depok 16426 Indonesia.  

Antologi solo yang pertama ANTOLOGI SAJAK SUARA DARI PANTAI terbitan Bahagian Bahasa dan Sastera Badan kesenian dan Kebudayaan (B2K) Tutong pada tahun 2011 dan antologi solo yang kedua KUMPULAN SAJAK LORONG-LORONG KEHIDUPAN terbitan Bahagian Bahasa dan Sastera Badan kesenian dan Kebudayaan (B2K) Tutong pada tahun 2015. Selain menulis sajak juga meminati menulis syair dan pantun dan juga cerpen. Bermain alat muzik tradisional dan moden, melukis, seni bela diri (silat), nyanyian dan tarian, dan juga Dikir Brunei ialah bidang-bidang yang lain yang sama diceburi. Pernah mendapat mendapat tempat pertama, kedua, dan ketiga dalam peraduan seni lukis peringkat daerah. Menerima anugerah Pingat PKL dan PIK.

PUISI

7.01. Aku Cuma Punya Sedikit
7.02. Berbicaralah Alam.
7.03. Bisikan Hati Buat Warga Tua
7.04. Dedaun Yang Berguguran
7.05. Dipanjat Usia
7.06. Kita Ini Warisan Melayu
7.07. Kuncupnya Tetap Mewangi
7.08. Lalu Bertanyalah Orang Tua
7.09. Menyusuri Embun Pagi
7.10. Nafas

7.01.
AKU CUMA PUNYA SEDIKIT

Aku memang tak punya apa
jika itu yang kau minta
aku cuma punya sedikit
berkubur di kaki anak bukit
di situ hatiku tetap terselit
walau tiada kurasa segala manis
hanya didakapi keping hati menangis
di sebuat sudut gelap dan trajis.

Aku ini bukan siapa
hanya insan yang berkelana
tak punya yang luar biasa
menimba dan mencuba dengan daya
hingga esok dan esok….. dan esoknya
entah mungkin tiada akan bernoktah
biarlah walau bercampur dengan sampah
tetap juga takkan punya penyudah.

Walau aku mengejar usia yang berlari
namun tetap berkata aku tidak terlewat
mencari jejak-jejak yang pernah perkasa
sebagai tauladan untuk berjasa
bersama detik-detik nafas semput
kerana aku bukan seorang pengecut
kerana inilah harga jati diri
jika ingin berdiri sendiri.

Biarlah walau aku sekerdil mana
aku tetap takkan peduli apa
silakan bicara walau bagaimana
kerana aku tahu ukuranku
setakat mana yang aku punya
keyakinan itu perisaiku
pasti tiada mampan godaan
menghadang perjalanan.

Noorhamy
18 Feb. 2019, 1.44 pagi.

7.02.
BERBICARALAH ALAM

Desiran dedaun ditiup bayu di hutan rimba
adalah suara bicara alam mengenai kehidupan
antaranya cerita kerakusan perilaku manusia
melalui bisikan yang pasti tiada kedengaran
hanya difahami dari naluri hati yang memahami
menilai antara keputihan dan kehitaman
juga antara keindahan dan keburukan
atau kebaikan dan kejahatan dalam kehidupan
pokok-pokok yang tumbang berkaparan
bagaikan bangkai-bangkai mangsa di medan perang
kepulan asap pembakaran bagai dalam pertempuran
musnah segala kedamaian dan keindahan
lantas terdengar suara tertawa yang berdekah
kepuasan dalam kegelapan fikiran.

Berbicaralah alam pasal kehancuran
tika lembaga-lembaga sedang berkeliaran
mereka hadir hanya menjanjikan kemusnahan
sambil menayangkan senyuman yang lebar
di balik tirai kebanggan berbunga keuntungan
habuan laba dari nilai alam yang menjadi korban
akhirnya anak-anak tidak akan mengenali
wajah-wajah alam yang pernah bersama leluhur
bagaikan sebuah cerita dongeng yang kabur
tiada sedikitpun akan menjadi penghibur
selain dari menjadi restaan yang menggerun
dikatakan hutan rimba dihuni para jembalang.

Berbicaralah alam dalam kemurungan
dibicarakan mengenai sebuah kehilangan
kehijauan dan kemesraan alam fauna dan flora
beburung telah jarang hinggap di dahan-dahan
hanya terbang berlegar meninjau dari atas awan
haiwan melata kerap tersesat hilang panduan
tersasar ke kota tak kenal lagi lorong laluan
hutan rimba khazanahnya semakin jarang
bukit bukau semakin gondol dan kontang
hamparan relung-relung tanah menjadi padang gersang
aliran air sungai kian hanyir dan bergelodak
bersama titisan air mata insan yang menagih hak.

Noorhamy.
21 Februari 2019, 12.52 pagi (malam).

7.03.
BISIKAN HATI BUAT WARGA TUA

Kita ini sudah dimamah usia
telah kehilangan sebahagian yang punya
bagai pohon semakin usang di tengah padang
walau masih punya tunjang perdunya tetap bergoyang
janganlah terus bangga kerana pernah didewa
berwajah tampan dan perkasa bagai dewa angkasa
atau berwajah manis menawan bagai bidadari di awangan
namun pasti akan tetap punya keistimewaan
jika masih murni keperibadian kemanusiaan
atau tersirat segala keikhlasan dalam kelembutan
dan terus teguh keimanan kepada Tuhan
tanda jatinya kewujudan makhluk bernama manusia
ciptaan Tuhan yang paling terindah dan sempurna.

Kita ini tetap terus diratah usia
hingga sejauh mana kita bernafas membelai maya
usah masih juga terus terlena membelai warna dunia
sedangkan garis senyuman tiada lagi menawan
raut wajah telah mengendur berlipatan
tulang-temulang juga telah mula berhentakan
dan bebola mata yang bundar bertukar pudar
yang ada kita hanya punya nafas yang sering semput
dan juga bagaikan hilang datang jantung berdenyut
ayuh! bangunlah dari angan-anganmu yang keliru
kenangan usia mudamu yang telah jauh berlalu
beramal, berzikir, bertahmit pada Tuhan-Mu
kerana usia kita kian hampir di muka pintu.

Tataplah wajah kita di penghujung usia
dalam cermin kehidupan berbayang kesedaran
sedangkan wajah terus juga semakin lusuh
sisa daging di lengan kian kendur kerdut beribu
tetap tak akan menyerlah keindahannya
walau dipersalinkan pakaian putera kayangan
atau dipasangkan persalinan puteri di bulan
kerana kita adalah pohon-pohon menjadi punggur
akar-akarnya remuk dan daun-daunnya gugur
menanti tumbang ke bumi dan hancur bertabur
bersama hati syukur atau sikap takbur berkubur
hanya Tuhan tentukan penghuni di mana
antara neraka saqar atau syurga loka.

Noorhamy.
25 Jun 2018, 11.58 malam.

7.04.
DEDAUN YANG BERGUGURAN

Helai-helaimu pernah menghijau merimbun
di reranting menghiasi flora dan fauna rimba
atau penghias taman syurga di mata
bagai memenuhi warna sebuah kedamaian
buat semua makhluk yang bernyawa berkongsi rasa
manusia dan unggas mergastua serta haiwan melata
menyenangi wujudmu melengkapi setiap pepohon
buat tempat bersantai dan bercanda mendamai jiwa
saban hari di kala tersenyumnya mentari
atau di saat malam distinasi unggas bermalam
di malam kelam atau sinar rembulan berbalam.

Entah, masihkah menghias kenangan
setelah dedaun terpisah jatuh berguguran
dari reranting pepohon yang terisak menangis
dalam kekeringan yang layu di ranting kaku
didakap malang kemarau tiada terhalang
helai-helainya melayang dihembus bayu yang sendu
pepohon tetap jua pasrah diiring sedu rindu
akur kepada perjalanan sebuah takdir
yang pasti juga akan hadir penutup akhir
mengharap dedaunnya bercambah kembali.

Dedaun yang berguguran
di atas bumi menjadi taman kuburan
baktinya bagaikan tanpa punya peninggalan
dilupakan tiada dicoret bokti pengakuan
pepohon juga mungkin terlupa segala kehilangan
dedaun yang gugur kian kering mereput
tanpa dibelai kasih walau sejemput
hanya sendirian matinya disambut sepi
atau dicakar buat pembakar unggunnya api.

Noorhamy.
26 November 2018, 12.57 dini hari (malam).

7.05.
DIPANJAT USIA
(Buat ingatan kita semua)

Apabila setiap kali dipanjat usia
yang tetap hadir dan tak pernah mungkir
menandakan kita dipanggil semakin hampir
namun tetap masih punya nilai harga
yang bukannya akan dipinggir percuma
kerana usia serupa pokok gaharu
dalam wujud tua terasnya kian bermutu
tersembunyi segala rahsia berguna
di dalam raga tinggal rangka seperti mati
kitalah tunggul balu tetap hidup hijau berlumut
tersembunyi di hutan rimba bertapa
di celah tumbuhan hutan halimunan
miliki seribu ilmu rahsia alam.

Usah dirisau bila usia terus bertambah
kerana itu bukannya tanda penyudah
dan di dada kita biarkan direla untuk ditimba
itu namanya sebuah jasa tiada percuma
dari kita yang telah digelar warga tua
agar segala milik kita tiada menghilang
tanpa pewaris ditumpahkan sayang
yang tak sepatutnya kita rasa berkira
bukan anak kita biar jadi anak kita
bukan cucu kita biar jadi cucu kita
bukan saudara kita biar jadi saudara kita
tiada mengapa kita ajari semuanya
asalkan mereka anak bangsa yang setia.

Apabila kita berhijrah ke warga tua
walau tulang-temulang bergetaran
kulit dan daging berkibaran bergantungan
namun tetap juga masih punya waktu
menabur budi hati memberi harapan
benih ilmu kehidupan di genggaman
bekalan pengalaman elok ditaburkan
agar tumbuh bersuli berbuah kebajikan
buat anak cucu bangsa kita dalam pencarian
pedoman sebagai pembuka lorong jalan
pintu ingatan dari warga tua sebagai warisan.

Noorhamy
19 Ogos 2017, 1.36 dini hari (Pagi)

7.06.
KITA INI WARISAN MELAYU

Jangan dibongkar dan jangan ditukar
kita ini warisan melayu elakkan malu mengaku
biarkan akar-akarnya menjalar dan berlingkar
teguh mendakap dan menekap walau ke tujuh bumi
kita memang punya warisan leluhur melayu
jangan biarkan kita terpaku dan membeku
di bumi nusantara kita punya budaya tersohor
ayuh! warisan melayu hiduplah walau bertabur
jangan mundur tapi jangan takbur
warisan-warisan leluhur adalah insan-insan agung
dalam perjuangan kehidupan di darat di lautan
di zamannya biarlah terus bersambung
kerana kita adalah pewaris dan akan mewaris
warisan melayu di seluruh nusantara dan dunia.
Wahai! Bertanyalah pada dirimu
di darah dagingmu warisan dari siapa
budaya dan tutur bahasamu bagaimana.

Nah! Melayu itu biarlah menjadi warisan istimewa
biarlah tunjangnya menusuk bumi menyeberang lautan
kerana kita bukannya bangsa menyerah kalah
walau berdayung atau berakit bergalah
menempuh gelora ombak dan badai ditongkah
sepertimana perkasanya pejuang warisan melayu
pernah kembara di daratan dan lautan beribu batu
menjadi restaan sejarah warisan melayu yang diaku.

Kita ini warisan melayu yang berani
Ayuh! bersama meniti lengkung gerbang pelangi
bersama menggapai awan gemawan satu tujuan
agar kita akan mampu menatap wajah bumi permai
dan akan meneroka pelusuk-pelusuknya yang damai
bersama keberanian dan kemampuan yang kita punya
kerana kita pemimpin warisan pemacu kejayaan
akan ditagih generasi warisan yang kehausan
mengharap dititiskan air di tenggorokan
meneruskan kehidupan bersimpangan ke arah kejayaan
pasti warisan kita akan gah di seantero dunia
akan terbokti jika kita dapat bersama untuk selama.

Noorhamy.
21 Februari 2019, 9.54 pagi
.

7.07.
KUNCUPNYA TETAP MEWANGI

Pohon-pohon tua walau tumbuh di mana
di tengah padang terbentang ditumbuhi lalang
di hutan belantara dan belukar akar berlingkar
apa lagi jika perdunya masih tegak berdiri
di dalam taman-taman halaman hiasan
pun walau tika dedaunnya sudah berguguran
sememang menanai sifat adat kelanjutan usia
namun kelopak bunga-bunganya yang kuncup
tetap mewangi di ruang angkasa bersama bayu
pasti dirangkul kepuasan di saat rebah tersungkur.
Pohon-pohon tua menanai sebuah harapan
kelak biji-biji benihnya tetap akan bercambah
dan pasti wujudlah generasinya yang seutuhnya
lantas pucuk-pucuknya menjulang setinggi mana
ke angkasa di dada langit yang yang terbuka
semoga dedaunya yang hijau merimbun
sebagai perteduhan unggas mergastua berhimpun
disaksikan setiap detik saat zaman bertamadun
menyumbang bakti di muka bumi milik Ilahi
pohon-pohon tua bagai tersenyum di saat tersungkur.

Nah!… tersiratlah warga-warga tua itulah pepohon tua
tetap punya harga melebihi nilai sebutir kemala
warga-warga tua punya warna-warna terindah
untuk diwariskan buat perhiasan di minda dan dada
buat warisan yang menghargai erti kebahagiaan
kerana warga-warga tua adalah generasi pejuang
mengharungi perjuangan yang panjang dan berulang
bersama mandian keringat dan tulang belulang
bersama kokok ayam dan dinginnya embun pagi
lantas tangan-tangannya gagah menanai mentari
dalam langkah kaki walau longlai menuju senja hari
ayuh!… berrtanyalah pada diri di manakah kita kini.

Noorhamy.
15 Oktober 2018, 1.48 pagi (dini hari).

7.08.
LALU BERTANYALAH SEORANG TUA

Lalu bertanyalah seorang tua
menjenguk dari jendela yang terbuka
tanyanya aku anak siapa dan bangsa apa
lantas jawabku aku anak watan melayu jati
dia tersenyum dalam wajah yang kerepot
namun dia tetap masih gagah dan tampan
bagai pahlawan pejuang di medan peperangan
dan dalam sopan mengatakan aku bagus
di hatiku berkata dia bukan tikus tapi kritikus
membuka minda berfikir tidak rakus.

Orang tua itu terus juga bertanya
aku kerja apa dan tempatnya di mana
jawabku aku kerja apa saja dan juga di mana-mana
dia tersenyum sumbing sambil mengerling
anehnya dia bermandi keringat menaikkan kening
juga berpesan padaku agar tidak ponteng
kerja apapun biar halal itu penting
wataknya bertegas berani tiada tanding
sangkaku dia seorang sukar dibanding
berbicara lembut tiada nyaring.

Orang tua itu terus bertanya
yang aku mahu ke mana tempat siapa
kujawab selamba tak panjang bicara
aku boleh kemana-mana di pelusuk dunia
aku jumpa siapa-siapa yang mudah kusapa
orang tua itu menentang mataku
katanya aku ini manusia yang kaku
berhati yang beku berfikiran buntu
lantas aku sedari sendiri mengaku
aku tak punya apa-apa mujur dia ada.

Noorhamy.
13 Februari 2019, 12.33 Dini hari (malam)
.

7.09.
MENYUSURI EMBUN PAGI

Berkicau beburung
berterbangan bermandi embun
di ruang tabir kabus yang dingin
tika mentari menyerlah tersenyum
menatap tubuh-tubuh bergerak rancak
sedang menghayati harga sebuah kehidupan
dalam langkah-langkah menuju tujuan
menuju menongkah arus kota
atau meneroka isi rimba belantara
dan mengharungi gelora lautan semudera
begitu nekad demi menunaikan hajat
agar selesa menghembus kesegaran nafas.

Menyusuri embun pagi
diiringi kokok ayam yang rancak bernyanyi
suara si birik, si rintik atau si bulu cantik
serak dan unik namun tetap menarik
kerana jejarinya bersama mencakar tanah
nan lembab atau berlumpur mengelak kebulur
insan-insan berjalan bersimpang-siur
hala tujunya meneroka ruang kehidupan
seiringnya kokok ayam di halaman atau di reban
biarlah tubuh akan bermandi keringat
setelah mentari mula panas menyengat
atau tubuh akan kesejukan basah kuyup
ditimpa hujan dan angin yang bertiup
di bumi ini masih punya rezeki asal berani.

Embun pagi permulaannya langkah
buat insan-insan yang berjuang tak sudah
kerana mengenali pengertian kehidupan
yang setentunya dilanda rasa kesakitan
menghendaki kecekalan dan keberanian
di setiap detik masa yang terus hadir
dan di setiap langkah yang terancang
agar tiada akan tertumpas perkiraan
yang kepingin dilakar dan erat di genggaman
menjadi perjanjian membena tampuk harapan
hingga langkah perjalanan menuju ke tabir senja
dan esok akan bersama lagi menyusur embun pagi.

Noorhamy.
17 November 2018, 12.32 dini hari (malam).

7.10.
NAFAS

Berlalulah hembusan nafas
ada sedu di setiap sudut gelap dan terang
dan malamnya wujud bayangan kepastian
sinaran lampu kehilangan erti meredah saat
di dalam takdir perjanjian tanpa isyarat
namun tetap tiada wujudnya sesal
dari pengiring yang tetap setia ditinggalkan
di sebalik ada tandatanya bekalan pemergian
dimiliki sudah secukup mana.

Esok, esok lagi dan esok-esok berganti
terus juga berlalu hembusan nafas
yang tinggal banyak membisu menupang dagu
sebak sudah tiada mampu dikira
lantas tertumpah di ruang serambi isi hati
juga menitis di permukaan bumi menanti
tiada lagi terkesat di celah-celah jari
wajah sebuah takdir yang mesti dimiliki.

Setiap hari bagaikan punya jalan pintas
nafas terus dihela panjang dan pantas
dan rupanya masih juga punya rasa biasa
kadangnya dicengkam rasa tiada percaya
diri masih juga membelai anugerah raga
lantas bertanya di dalam teka-teki
hembusan nafas sendiri bila akan pergi
yakin sememang di situlah perjalanan.

Setiap kali hembusan nafas berpergian
terasa bagaikan hadir di dalam diri
dan bergoncang sebuah ketenangan
pada Tuhan diluah doa permohonan
bermunajat memohon segala pengampunan
memburu agar tiada akan berlalu
detik-detik masa yang masih berbaki
penghujungnya dengan setia tetap dinanti.

Noorhamy.
31 Januari 2018, 12.10 dini hari.

TAMAT.