PUISI (3)
11.02. MALANG YANG MENIMPA.
11.03. Tanka: CHRISTCHURH BERDARAH.
11.04. TRAGEDI CHRISTCHURCH.
11.02.
MALANG YANG MENIMPA
(Mengenang mangsa keganasan di Christchurch)
Peristiwa berdarah mengalir merah
Bersimbah di Masjid An Nur di bumi Christchurch
Tragik mengundang duka nestapa
Di rumah Allah peribadatan suci
Pembunuhan kejam menghantui duka
Menyayat hati nubari dalam keheningan rasa
Sedih dan pilu terpamer di mata
Tersentuh di jiwa tertayang di kaca
Christchurch ! tragedi amat mengejutkan
Malang menimpa tak berbau mencengkam
Umat Muhammad sedang berurusan dengan Al- Khalik
Jatuh tersungkur darah mengalir lesu
Gara tembakan pembunuh laknattullah
Segera menjemput maut dari peluru tak bermata
Di rumah ibadah sesuci setakwa ini
Bala datang bukan undangan mesera
Bukan impian kasih bukan nyanyian merdu
Tapi kebencian dan dendam kesumat
Dahsyat ! tanpa mengenal peri kemanusiaan
Memuntahkan tembakan peluru sasar
Rebah terkulailah Muslim yang tak berdosa
Menemui ajal dan akhir hayatnya
Demi masa muka keharmonian beragama
Kesiapsiagaan itu hak wajib dan mutlak
Jangan terhantuk baru tengadah
Wujudlah keserasian yang membawa sinar
Kerana natijah leka dan lalai diri tersalai
Aniaya akan terus memperdaya
Malah dirangkap dan terperangkap diri
Terancam dan diancam rencam
Apalagi yang disangsikan
Apalagi yang sangat dimuskilkan
Bukan keliru bukan sepekan
Kewibawaan Islam wajib dipertahankan
Ubahlah fikir ubahlah sikap yang dingin
Tumbuh membesar umpama pokok beringin
Tegak berdiri tiada tumbang ditiup angin
Tegak keadilan demi kehidupan
Jadilah umpama kajang eluk berlipat
Jangan seperti mangkuang layu
Kini bukan lagi masa bermuhasabah sendiri-diri
Tapi bermuhasabah dengan Islam mandiri
Tiada takut dan gentar melulu
Memperkukuh erat Islam yang bersatu
Yakin jaya memperkasa Negara Islam yang jitu
Pengiran Haji Shamsu PHK.
Kg. Selayun, Bengkurong ‘B’, 24/3/2019.
11.03.
CHRISTCHURH BERDARAH
Tanka
Pembunuh Kejam
Kukenang dalam duka
Menyayat hati
Kukutuk sepenuhnya
Jangan mengulang lagi
Pengiran Haji Shamsu PHK.
Kg Selayun, Sengkurong ‘B’
25/3/2019.
11.04.
TRAGEDI CHRISTCHURCH
Dahsyat !
Mengejutkan !
Menyedihkan !
Pembunuhan Kejam
Christchurch bersimbah darah
Dikutuk sepenuhnya.
Kini siapakah mau disapa
Kepada siapa hendak disalahkan
Mala petaka celaka datang menimpa
Walhal adakah sengketa murka
Andai terlepas pandang tersalah terka
Dalam manisnya madu ada hempedu.
Biar ! Biar jadi iktibar
Jangan melulu senyum melebar
Pembunuh sudah membuat onar
Ibarat hendak mengelak fitnah
Ubahlah sikap berserah dan menyerah
Sedang usaha dan tajam berfikir wajib dikerah
Agar tiada sirna dan pasrah.
Apalah mainan demonstrasi di merata
Tersilap langkah panjanglah sengketa
Jadilah bulat air kerana pembentung
Bulat kata jadilah kota.
Andainya terbena hakikat makrifat
Hasrat hati sudah sebati
Bersatulah umat Muhammad seantero dunia
Dalam kemenangan realiti sebenar
Pengiran Hj Shamsu PHK
Kg Selayun, Sengkurong ‘B’
31/03/2019