BIODATA. Rosnidar Ain dilahirkan pada 21 Januari 1978. Beliau merupakan anak jati Daerah Baling, Kedah. Kini bertugas di Bahagian Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia yang menjurus dalam subjek yang berkaitan dengan Kesusasteraan dan Media Baru dan Penulisan Kreatif. Pendidikan awal beliau adalah di Sek. Keb. Kg. Bandar dan Sek. Men. Keb. Syed Abu Bakar, Baling, Kedah. Atas minat beliau dalam bidang penulisan kreatif, beliau telah memilih Institut Teknologi Seni Melaka untuk melanjutkan pengajian dan dianugerahkan Diploma dalam Penulisan Kreatif di institusi tersebut. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesenian Melayu di bawah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kesusasteraan dan Media Baru untuk peringkat Sarjana dan Kedoktoran oleh Universiti Sains Malaysia dan memilih untuk melanjutkan pengajian di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Shah Alam. Di sini, beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dan Kedoktoran dalam bidang Komunikasi Visual dan Media Baru. Selain menghasilkan dua buah novel, karya beliau pernah dimuatkan dalam beberapa antologi puisi dan antologi cerpen. Ada puisi dan cerpen beliau diterbitkan dalam surat khabar seperti Berita Minggu dan Utusan Malaysia. Beliau pernah memenangi hadiah sagu hati dalam sayembara menulis cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-10. Beliau juga turut menulis artikel-artikel ilmiah dalam jurnal, bab dalam buku dan sebagainya, dalam bidang kesusasteraan terutamanya yang berkaitan dengan komunikasi visual dan media baharu. rosnidar_ain@usm.my. +6013-4805857.
10.1. Seorang Orang Tua.
10.2. Islamofobia,
10.3. Muntah.
10.4. Kopi Cap Gantang Vs. Kopi Pendatang.
10.5. PU
10.6. Dalam Bengkel.
10.7. Apabila Kemarau Dan Jerebu Datang Semula.
10.8. Si Pencuru Yang Dipercayai.
10.9. Lagu Tiga Kupang.
10.10. Babi Dan Harimau.
10.1.
SEORANG TUA
Dibina sebuah rumah lengkap segala
oleh seorang anak
tinggal berdiam dia seorang
menagih sayang rindu dendam
punya anak bukan seorang
lelaki dan perempuan,
lelaki dan perempuan,
banyak bilangan – gilang gemilang
pabila demam
yang pulang seorang dua orang
yang profesor ada urusan
yang doktor dalam kecemasan
yang bisnes kejar pelanggan
yang miskin tak ada wang untuk pulang
Seorang tua itu sedang uzur
isyaknya sakit, cergasnya zohor
kadang mimpi mengganggu tidur
rindunya pada bungaan gugur
di atas batas-batas kubur
10.2.
ISLAMOFOBIA
Masygul pada sabda islamofobia
menghunjam denyut atma
merejam ketamadunan
maka fobia
di mana-mana
di mata
di kepala
di suara
Fobia itu merebak amarah
membuak darah
pada yang tidak bersalah
Mereka yang fobia
mencipta dunia
tanpa menang
kerana tenang
tidak pernah datang
bagi penentang
10.3.
MUNTAH
Kronologi drama
muntah lintah
berulang dan ulang lagi
ajuk dan ajuk lagi
jadi parodi mengejek diri
politik sakit menjerit-jerit
atas sama atas
bertumpang tindih
yang bawah
gadai peribadi
yang tengah tunggu rezeki
tiada guna bergalang-ganti
naskhah sama tukar watak tukar wajah tukar posisi
ulang dan ulang lagi
ajuk dan ajuk lagi
jadi parodi menggonjak diri
10.4.
KOPI CAP GANTANG VS KOPI PENDATANG
Siapa yang meletakkan harga kopi?
Tempatan
vs
Pendatang
Harga secawan kecil
vs
Harga seguni beras
Hirup kopi cap gantang
fikir hutang tatkala hujan
Hirup kopi pendatang
fikir hutang
untuk hidup senang
10.5.
PU
Kahwin halal kahwin curi
Bukan artis bukan selebriti
Galak berbini lagi dan lagi
Tersungkur disondol babi
Punya ilmu bukan calang
Quran hadis dalam tangan
janji cinta bulan bintang
tapi iman mudah kontang
PU
Manusia biasa
ada jiwa
mudah leka
bukan saja-saja
jatuh cinta
ikut sunnah
pahala berganda
PU bukan artis bukan selebriti
PU ada dalam diri para lelaki
PU boleh ustaz boleh menteri
PU adalah seorang suami
– Penuntun Ukhrawi
10.6.
DALAM BENGKEL
Dalam bengkel mengejar tradisi
mata di hadapan akal di tepi
antara kerja – keluarga dan hobi
mereka mengejarku mati
10.7.
APABILA KEMARAU DAN JEREBU DATANG SEMULA
Kita sentiasa diperingatkan tentang keadaan masa hadapan
dengan lara tingkah-meningkah
kadang-kala hadir tatkala gerimis merembes
matari jarang tersenyum dalam gemerlap sinar
hujan angin jadi lumpur jadi abu
bentala sudah malas jadi subur
sang gunung rela hancur
Kita alpa lagi dan lagi
-Hujan ke mana pergi?
10.8.
SI PENCURI YANG DIPERCAYAI
Seorang Pencuri diberi kunci
menjaga harta peribadi
kerana tiada yang lebih layak selain dia
kononnya orang mencuri tidak akan mencuri jika dipercayai
Jadinya dia gembira diberi percaya
lalu bertekad menghargainya
harta benda dijaga sempurna
malah dijanjikan untung pula
Lama-lama mereka lupa
Si Pencuri ini bukan bijak berbicara sahaja
tetapi ligat akalnya
kemahirannya bukan mencuri semata-mata
kononnya arif timbultimbuskan harta
dari merata-rata
maka percaya lagi mereka
berduyun-duyun menyerahkan harta
punah akhirnya sekelip mata
Si Pencuri yang bijak mencuri, juga bijak memperdaya
dikatanya harta hilang kerana pelaburan
hilanglah berkoyan-koyan harta dalam jagaan
lepas lagi rezeki di tangan
Padan muka kami orang!
10.9.
LAGU TIGA KUPANG
Lagu tiga kupang
Sagu penuh padi
Enam ekor burung
Masuk dalam kuali
Tiba datang musang
Darah makin enak
Taring jadi siong
rakyat korban diri
Todak muncung panjang
Tahan betis saja
Akal jangan hitung
Nyawa galang ganti
Suami pulang menang
Isteri idam mati
Keris jadi sumpah
Muntah darah api
10.10.
BABI DAN HARIMAU
Hari ini babi dan harimau tidur di halaman rumah
hari esok datang lagi buka kunci pintu depan
alang-alang boleh jadi anak susuan
Rumah babi dan harimau sudah punah
bela babi lagi untung dapat habuan
bela lembu kambing asyik-asyik diculik orang
Makan babi sama haram macam dadah
minum arak bukan teguk kencing setan
benda jijik baru seronok dalam khayalan
Orang kampung tak hairan babi harimau datang jengah
lagi hairan tamu datang bawa barangan
sudah biasa dalam dunia seorang-seorang
nanti mati pergi kubur sendiri berjalan
Babi dan harimau cari rumah
bukit bukau hilang sudah
apa nak hairan ramai kawan
ada nak jadi babi
ada nak jadi rimau
jadi-jadian.
TAMAT.