BIODATA. M.S. Rindu (Mohamed Salleh Lamry) lahir di Kuala Selangor pada 22 September 1942,  memiliki  Ijazah   Ph.D dari UM (1989). Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sekolah rendah, sebelum bertugas   sebagai  pensyarah   Antropologi dan Sosiologi    UKM (1978-2003). Beliau   pernah menulis cerpen dan  sajak    pada tahun 1960-an, tetapi  tidak meneruskannya ketika  bertugas sebagai  pensyarah. Selepas bersara dari UKM,  beliau memberi tumpuan kepada penulisan biografi. Buku  biografi beliau yang terakhir, Biografi Ishak Shari: Pemimpin Bumi Semua Manusia (Penerbit UKM, 2014) telah memenangi HSPM  bahagian biografi bagi tahun 2014. Beliau menulis cerpen dan sajak kembali mulai 2016,  yang telah diterbitkan  dalam pelbagai buku antologi.

PUISI

7.01.
7.02.
7.03.
7.04.
7.05.
7.06.
7.07.
7.08.
7.09.
7.10.

7.01.
BAHAMAN

Bahaman bangkit menentang Inggeris
yang diundang oleh raja
untuk jadi penasihat baginda.

Ia dicap sebagai penderhaka
bukan sahaja oleh Inggeris
tapi juga oleh istana.

Tapi di mata rakyat
Bahaman adalah seorang wira
yang berani menentang Inggeris
yang sebenarnya menjajah Pahang
dan menyebabkan raja hilang kuasa.

Di zaman perjuangan kemerdekaan
selepas perang dunia kedua
Bahaman disanjung begitu tinggi
sebagai pemberi semangat dan pendorong
untuk rakyat Pahang
berjuan menentang Inggeris
yang masih mahu menguasai
negeri Pahang dan kekayaannya.

Kajang, 20.12.2019.

2.0. ABDULLAH C.D.

Kau pejuang kemerdekaan
yang tidak mengikut jalan perundingan
kau mengangkat senjata
seperti rakyat di pelbagai negara.

Kau berjuang sejak muda
berasaskan ideologi yang kau yakini
penjajah adalah musuh rakyat
yang wajib diperangi dan dibasmi.

Kau berjuang di hutan belantara
dari Pahang hingga ke Thailand
memakan masa empat dekad
meski kemenangan belum muktamad.

Perjuanganmu berakhir di meja perundingan
tapi bukan menyerah kalah
engkau setuju untuk berdamai
untuk mengakhiri perjuangan yang bermaruah.

Namamu tentunya tidak tercatat
dalam buku sejarah rasmi
namun dalam lipatan sejarah rakyat
namamu telah terpahat
dan tidak boleh dipadam lagi
sebagai pejuang kemerdekaan yang sejati.

Kajang, 14.1.2020.

3.0. KAMARULZAMAN TEH

Kau anak elit kampung
bersekolah Inggeris pada zaman penjajahan
nasibmu sudah terjamin
jadi orang besar dan hidup senang
jika hanya fokus pada pekerjaan
dan setia pada kerajaan.

Tapi kau mahu jadi wira rakyat
yang berjuang menentang penjajah
malah jadi pemimpin
gerakan kiri yang radikal dan militan.

Kau tertangkap kerana memiliki senjata api
dan dijatuhkan hukuman mati.
hanya pengampunan Sultan
menyelamatkan kau dari tali gantung.

Kau dihumban ke dalam penjara
selama 20 tahun
kemudian di tahan di bawah ISA
selama 8 tahun lagi
memang penderitaanmu berat sekali.

Tapi kau berjuang di pihak yang kalah
memang tidak ada penghargaan
apalagi bintang dan pingat
dari pihak kerajaan.

Menjelan kematianmu
kau membawa diri ke negara asing
meninggalkan tanah air
yang tidak menghargai perjuanganmu.
Hanya di sana
di Selatan Thailand
kau merasa dihargai
oleh teman seperjuanganmu
yang lama berjuang dari luar negeri
dan telah bertukar status
menjadi warga negara asing.

Kajang, 28.8 2019

4. MALAYSIAN MALAYSIA

Malaysian Malaysia sebuah konsep
ciptaan sebuah parti politik
untuk mewujudkan kesamarataan
dalam masyarakat berbilang bangsa.

Ada andaian palsu
di sebalik konsep itu
kerana bangsa pendatang yang menguasai ekonomi
dikatakan warga kelas dua.

Konsep itu tidak menepati realiti

kerana yang terkebelakang di negara ini
dan merupakan warga kelas dua
sebenarnya bangsa bumiputera.

Konsep itu juga menafikan sejarah
negara ini asalnya negara Melayu
dan sebagai penduduk asal
adalah satu kewajaran
bumiputera mendapat sedikit keistimewaan.

Konsep itu mesti ditolak
kerana di sebalik kesamarataan yang ingin diwujudkan
tersirat satu ketidakadilan
untuk bangsa yang terkebelakang
dan penduduk asal negara ini.

Kajang, 27.2.2019.

5.0. MALAYSIA BARU HANYA IMPIAN

Alangkah indahnya Malaysia baru
jika rakyatnya menjunjung tinggi
sejumlah nilai murni
yang disarankan oleh perdana menteri.

Nilai itu meliputi
bertolak ansur
menyanjung ketinggian budi
saling hormat menghormati
sedia memberi dan berkongsi
tidak mementingkan diri sendiri

dan berkemahuan untuk berkorban.

Tapi itu hanya impian
yang masih jauh dari kenyataan
khasnya dalam hubungan antara kaum.

Kenyataan yang amat terserlah
kita tidak mahu bertolak ansur
tidak menyanjung ketinggian budi
tidak saling hormat menghormati
tidak bersedia memberi dan berkongsi
hanya mementngkan diri sendiri
dan tidak berkemahuan untuk berkorban.

Malah kita semakin menyalakan
api perkauman
yang semakin marak
dan akan membakar kita semua
jika kita terus lalai dan alpa.

Kajang, 28.1.2020.

6. BERUNDURNYA SEORANG MENTERI

Seorang menteri
terpaksa berundur
apabila perdana menteri
tidak lagi memerlukan khidmatnya.

Mungkin ia menteri yang bagus
atau lebih bagus

daripada setengah menteri
tapi itu bukan alasan
untuk ia terus kekal di kerusi menteri.

Perdana Menteri telah menasihatkan
supaya ia berundur
nasihat itu mesti dipatuhi.

Nasihat itu mungkin salah
tapi tidak boleh dibantah
kerana yang menentukan kebenaran
ialah perdana menteri sendiri.

Kajang, 7.1.2020

7. ORANG-ORANG TANPA NEGARA

Alangkah besar bilangannya
orang Islam
yang hidup tanpa negara.

Di Turki ada 3.7 juta
di Libanon ada 1.5 juta
di Eropah entah berapa juta
yang tersebar di pelbagai negara
Di Malaysia pun ada

walaupun kita tidak pasti bilangannya.

Mereka adalah orang-orang yang tersingkir
dari negara sendiri
antaranya kerana perang saudara
atau diusir
oleh kerajaan yang tidak mengiktiraf mereka
sebagai warga negara.

Mereka tiada rumah
mereka tiada kerja
anak mereka tidak bersekolah
makan minum mereka seadanya.

Mereka menderita
mereka memerlukan pertolongan
dari negara Islam yang kaya.

Kajang, 24.12.2019.

8. GURU LAMA

Aku guru lama
mengajar di sekolah desa
mungkin menggunakan kaedah lama.

Aku gembira
aku ada wibawa
dan dihormati oleh ibu bapa.

Ketika itu
guru khas disiplin belum ada
aku sendirilah yang merotan murid
jika ada kesalahan
yang memerlukan hukuman.

Aku tidak menghadapi tekanan kerja
aku tidak sakit jiwa
dan tidak perlu minta bersara
sebelum umur persaraan tiba.

Aku tinggalkan jawatan guru
untuk jadi pensyarah
tapi aku masih dipanggil cikgu
dan aku gembira
dengan panggilan itu.

Kajang, 16.5.2019

9. JEREBU DARI RIAU

Hampir setiap tahun
bila tingkap kubuka
kulihat jerebu dikelilingku.
Pandanganku terhalang
oleh jerebu yang memutih
di depan mataku.

Dari TV kudengar berita
sekolah diberi cuti
kerana jerebu yang datang
membahayakan kesihatan murid.

Orang awam juga tidak digalakkan
berada di luar rumah
jika tidak terlalu perlu
untuk menjaga kesihatan mereka.

Jerebu ini dikatakan dari Riau
yang jauh dari Malaysia
tapi sampai juga ke sini
bersama angin yang membawanya.

Aku tidak tahu
berapa lama lagi kami akan menderita
kerana jerebu dari Riau
berulang datang setiap tahun.

Tapi inilah derita kami

jika pembakaran hutan di Riau
yang membawa jerebu ke negeri kami
tidak mereka basmi.

Kajang, 19.8.2019.

10. JALAN JAWA DI TELUK INTAN
(Mengenang Haji Mohamad Amin)

Jalan Jawa di Teluk Intan
inilah sebatang jalan
di mana dahulu
leluhurku dari Jawa
ikut mencurah keringat
membangunkan bandar ini.

Jalan Jawa di Teluk Intan
inilah sebatang jalan
yang menjadi bukti
leluhurku juga pernah berjasa
membina bandar ini
walaupun hanya sebagai kuli.

Jalan Jawa di Teluk Intan

inilah sebatang jalan
yang jadi penghubung
antara aku dan leluhurku
yang telah lama pergi
tapi namanya kekal dalam ingatan
kerana Jawa nama sukunya
telah diabadikan
sebagai nama sebatang jalan
di bandar ini.

Kajang, 23.10.2019.

TAMAT.